PETALING JAYA – Penyanyi kumpulan Linkin Park, Mike Shinoda mendedahkan pernah menandatangan dahi seorang bayi di Malaysia menggunakan pen penanda.
Perkongsian itu dibuat dalam satu rancangan temu bual bersama Mythical Kitchen baru-baru ini sebelum tular di media sosial.
Menurut Mike, peristiwa itu berlaku semasa dia didatangi seorang peminat kumpulan tersebut ketika berkunjung ke negara ini.
“Lelaki tersebut tidak begitu pandai berbahasa Inggeris, dia datang kepada saya dan minta saya tanda tangan sesuatu. Saya kata boleh kerana ingatkan tanda tangan pada sesuatu benda, tapi rupanya tidak.
“Dia minta saya tanda tangan pada bayinya menggunakan Sharpie (pen penanda). Saya 60 peratus ingat yang saya tanda tangan pada dahi bayi itu,” katanya.
Mike kemudian berkata, dia harap bayi tersebut tampil dan memberitahu dialah bayi yang ditandatangan itu.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna terhibur dengan perkongsian itu dan meminta ‘bayi’ tersebut tampil memperkenalkan diri.
“Sesiapa yang berumur 21 atau 22 tahun di luar sana dengan tandatangan Mike Shinoda di dahi mereka? Sila tampil, internet memerlukan anda,” kata Remy.
“Tahun bila ni? Kalau 2003 bayi tu dah besar dah,” kata Hafiy.
“Mesti ayah dia lahir tahun 80-an. Mike Shinoda pula tak terkata terus ‘sign’ saja,” kata Arie. – KOSMO! ONLINE