fbpx

‘Kita boleh bina yang lain’ – Paris Hilton menangis rumah di LA terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Paris Hilton hanya mampu menangis menyaksikan kediamannya itu musnah dijilat api akibat kebakaran yang berlaku di Los Angeles, Amerika Syarikat.

RUMAH agam mewah di Malibu, Los Angeles antara kawasan terjejas akibat kebakaran hutan, selebriti Paris Hilton hanya mampu menangis menyaksikan kediamannya itu musnah dijilat api.

Anak mogul hotel itu tidak dapat menahan kesedihan melihat ‘syurga’ miliknya yang menyimpan pelbagai memori manis keluarga kecilnya musnah dalam sekelip mata.

Katanya, dia dan suami, Carter Reum mencipta banyak kenangan indah sepanjang tinggal di sana terutama selepas kelahiran dua permata hati mereka, Phoenix, 2, dan London yang kini berusia 14 bulan.

“Menonton berita sambil melihat rumah saya musnah di televisyen adalah perkara yang sangat menyedihkan dan tidak seharusnya dilalui sesiapa pun.

“Kami boleh membina banyak lagi rumah, namun tidak akan sama dengan tempat istimewa yang kita sudah lama tinggal dan menyimpan memori bermakna,” katanya.

Paris, 43, turut menzahirkan terima kasih pada pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus memadamkan api, sekali gus menganggap mereka adalah adiwira sebenar.

“Kepada anggota bomba yang berani dan mempertaruhkan nyawa mereka untuk melindungi kami, anda adalah wira sejati.

“Saya sangat berterima kasih atas keberanian, dedikasi dan pengorbanan luar biasa yang anda lakukan untuk menyelamatkan situasi ini. Terima kasih dari lubuk hati saya,” ujarnya.

Turut terkesan dengan tragedi yang mengakibatkan wilayah antara Malibu hingga ke Santa Monica terjejas adalah beberapa selebriti Hollywood lain yang turut kehilangan tempat tinggal.

Antaranya ialah Mandy Moore, Spencer Pratt, James Woods, Diane Warren, Cameron Mathison dan Ricki Lake yang meluahkan kesedihan di laman sosial.

Terdahulu, seramai lima mangsa dilaporkan meninggal dunia akibat kebakaran besar di wilayah berkenaan dengan mangsa terjejas dipindahkan ke kawasan selamat.

Pelbagai usaha diambil bagi mengelakkan kebakaran terus merebak namun keadaan angin kencang menjadikan situasi sukar dikawal.

Lebih 1,000 bangunan dilaporkan musnah susulan beberapa kebakaran hutan tercetus di sekitar bandar kedua terbesar di Amerika Syarikat itu.

Wisma Putra melalui Konsulat Jeneral di Los Angeles mengesahkan tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terkesan dengan insiden berkenaan setakat ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI