PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) diarah untuk mengemukakan cadangan penambahbaikan skim perjawatan kakitangan jabatan itu kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau memberi tanggungjawab itu kepada Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd Hanafiah Man untuk merealisasikan cadangan penambahbaikan tersebut.
“Apa yang dikatakan oleh Ketua Pengarah Kemas (tadi) menjadi tanggungjawab beliau untuk memperjuangkan nasib seluruh warga Kemas, insyaAllah KSU (Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar) dan saya akan bantu.
“Saya meletakkan harapan kepada Ketua Pengarah (Kemas) untuk memujuk Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) selaku Menteri Kewangan supaya apa yang disebutkan oleh beliau tadi (dicapai), jangan tunggu tahun depan, harus dibuktikan tahun ini juga.
“Saya akan bantu sebagai satu bukti jelas bahawa sokongan kerajaan dalam menghargai usaha gigih seluruh pegawai dan kakitangan Kemas di seluruh negara dan sekali gus memastikan kita terus cemerlang dalam mendidik amanah generasi akan datang,” katanya ketika berucap sempena Program Pemerkasaan Masyarakat Madani Kemas di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Hanafiah berkata, terdapat seramai 9,719 kakitangan Kemas berstatus kontrak dengan 1,072 kakitangan berada dalam Gred S1, 191 kakitangan (Gred S2) dan 8,458 kakitangan berada dalam Gred S5.
Jelasnya, kakitangan yang telah memasuki perkhidmatan tetap setelah melalui tempoh kontrak sekurang-kurangnya 15 tahun pula adalah seramai 4,587 orang.-KOSMO! ONLINE