GEORGE TOWN – Penduduk di kawasan Sungai Pinang di sini dikejutkan dengan penemuan objek disangka bahan letupan di bawah pokok, tepi jalan Lebuh Sungai Pinang 7, hari ini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihak polis menerima makluman daripada orang awam mengenai penemuan objek mencurigakan yang menyerupai bahan letupan, kira-kira pukul 9.50 pagi tadi.
“Pihak polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dengan dibantu oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) dan pasukan siasatan forensik darii Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
“UPB telah berjaya menyahaktifkan objek tersebut pada pukul 11.50 pagi dan hasil analisa awal mendapati objek tersebut diperbuat daripada kertas, wayar dan simen serta tidak mengandungi sebarang bahan letupan,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya,tempat kejadian tersebut telah disahkan selamat dan dibuka kepada orang awam pada pukul 12.15 tengah hari tadi.-KOSMO! ONLINE