PUTRAJAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya mencatatkan prestasi cemerlang dalam kutipannya sepanjang 2024 lalu apabila merekodkan RM65.57 bilion.
Ketua Pengarahnya, Datuk Anis Rizana Mohd. Zainudin malah berkata, perolehan hasil tersebut melebihi unjuran yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) sendiri.
“Untuk makluman, pungutan direkodkan ini juga melepasi sasaran awal iaitu RM56 bilion sebelum disemak balik kepada RM61.17 bilion,” jelas beliau pada sidang akhbar di sini.
Mengulas lanjut, Anis Rizana berkata, kutipan keseluruhan yang diperoleh sehingga 31 Disember lalu adalah bersamaan dengan 117.08 peratus daripada unjuran pada awal tahun.
“Sekadar perbandingan dengan tahun sebelumnya pula, JKDM hanya sekadar dapat mencatatkan kutipan mencecah sebanyak RM55.17 bilion sepanjang 2023,” terangnya.
Justeru kata beliau, peningkatan agak ketara itu merekodkan pertambahan RM10.4 bilion atau bersamaan kenaikan sebanyak 18.85 peratus untuk rekod data tahun ke tahun.
Peningkatan di luar jangkaan itu jelasnya, merupakan angka tertinggi pasca pandemik Covid-19 dan mencerminkan usaha berterusan JKDM dalam pengukuhan kutipan hasil.-KOSMO! ONLINE