PETALING JAYA – Pelakon Jasmine Suraya yang kini menetap di Los Angeles, Amerika Syarikat mendedahkan jarak rumahnya hanya 10 minit dari lokasi kebakaran hutan yang berlaku berdekatan Taman Runyon Canyon.
Menerusi hantaran Instagram, Jasmine atau nama lengkapnya Jasmine Suraya Chin Xian Mei, 36, berkongsi video kebakaran yang dirakam dari atas bumbung rumah rumahnya.
“Inilah Ranyon Canyon. Hanya 10 minit jarak perjalanan jika memandu dari rumah saya. Saya naik ke bahagian bumbung untuk memeriksa situasi yang berlaku. Macam tak percaya kejadian ini akan berlaku depan mata saya,” tulisnya di bahagian kapsyen.
Tambah pelakon filem Paskal itu lagi, dia sudah meninggalkan kediamannya dengan membawa barang-barang keperluan sebagai langkah berjaga-jaga.
Menjengah ke ruangan komen, ramai rakan selebriti dan netizen yang mendoakan agar dia kekal selamat
“Jaga diri dan sentiasa berada dalam keadaan selamat,” komen pelakon Dynas Mokhtar dan Tiz Zaqyah.
Kebakaran hutan yang berlaku sejak selasa lalu telah meragut lima nyawa setakat ini dan memusnahkan ratusan rumah bangunan berdekatan.
Lebih daripada 70,000 penduduk telah diarahkan untuk berpindah demi keselamatan mereka. Keadaan angin kencang telah memburukkan lagi kebakaran dan menyukarkan proses pemadaman api. – KOSMO! ONLINE