JAKARTA – Seorang wanita di Penjaringan, Jakarta Utara nyaris dibogelkan oleh isteri dan anak-anak kekasih gelapnya selepas mereka mendapat tahu mengenai kecurangannya dengan lelaki tersebut, lapor laman berita Detik semalam.
Dalam kejadian pada awal pagi Ahad lalu, mangsa ditarik oleh lima beranak itu ke tengah jalan sambil dia menjerit meminta tolong.
“Mangsa ditarik ke jalan dan penduduk merakam video sebelum seluarnya ditanggalkan.
“Mangsa ketika ini sudah menerima rawatan di sebuah hospital dan mukanya bengkak serta lebam kerana dipukul,” kata Timbalan Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Metro Jakarta Utara, Asisten Komisioner Lukman.
Tambah Lukman, mangsa diperlakukan sedemikian kerana dituduh menjalin hubungan dengan suami suspek pertama.
Empat lagi individu yang turut menjadi suspek ialah anak-anak suspek pertama yang berusia 21, 16 dan dua orang berumur 22 tahun.
“Mereka sudah ditahan dan disoal siasat,” kata Lukman. – AGENSI