PETALING JAYA – Pasangan pereka fesyen dikenali sebagai Razman Razmi tidak menyangka urusan jual beli kereta pada 2019 berakhir dengan episod berdarah apabila diserang seorang jurufoto dalam sebuah acara yang berlangsung malam tadi.
Menurut Razman, individu tersebut pernah membeli sebuah Suzuki Swift daripada Razmi dengan harga RM20,000, namun selepas hampir dua minggu individu tersebut mengadu terdapat kerosakan dan meninggalkan kereta tersebut di tepi jalan.
“Kami mengenali dia yang kami anggap seperti adik sudah bertahun-tahun. Sebab itu kami jual kereta tersebut dengan harga yang jauh lebih murah daripada harga pasaran. Kami juga hantar kereta tersebut ke pusat servis dan cat baharu untuknya.
“Tetapi bila dia mula pakai kereta tersebut, saya lihat dia ‘henyak’ kereta tersebut naik bukit dan sebagainya. Kereta itu bukan Lamborghini. Kereta itu sudah berusia tujuh tahun.
“Dia telefon dan beritahu kereta tersebut rosak. Dia hanya meninggal kereta tersebut dengan meletakkan kunci di atas tayar. Kemudian saya yang uruskan proses ‘towing’ dan sebagainya. Apabila saya hidupkan enjin, rupanya kereta tersebut masih berfungsi.
“Selepas itu dia minta kami pulangkan semula RM20,000 secara tunai sedangkan dia juga membayar kereta tersebut secara ansuran kepada kami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Selepas kejadian, negara melalui Perintah Kawalan Pergerakan namun Razman ada membayar sebanyak RM3000 terlebih dahulu kepada individu tersebut.
“Disebabkan pandemik, bisnes kami juga terkesan. Jadi ambil masa untuk bayar penuh. Tetapi saya ada bayar sedikit demi sedikit sehingga mencecah RM6000.
“Kali terakhir saya jumpa dia pada Disember lalu di sebuah acara dan memberinya RM300. Saya kesihankan dia yang sedang dalam kesulitan dan cuba langsaikan baki bermula Januari hingga Jun tahun ini.
“Tetapi tak sangka semalam bila kami bertemu dia tiba-tiba menyerang saya dan Razmi sehingga cedera di bahagian muka. Ingatkan dia datang nak bersalam. Saya sampai pitam dan rebah. Luka di muka saya sepatutnya dijahit, tetapi doktor hanya meletakkan gam,” jelasnya.
‘Wajah dia lain macam’
Mengakui individu tersebut merupakan seorang yang baik, Razman akui bagaikan ada sesuatu yang tidak kena dengan individu tersebut malam tadi seolah-olah berada di bawah pengaruh bahan terlarang.
“Saya lihat wajahnya sangat lain. Mula-mula saya lihat dia tersenyum. Tiba-tiba bila datang dekat matanya terbeliak.
“Saya kalau boleh tidak mahu ambil tindakan, tetapi saya dinasihatkan untuk mengambil tindakan kerana acara tersebut melibatkan Permaisuri Selangor.
“Pertuduhan yang dikenakan juga agak berat iaitu cubaan membunuh. Saya juga dinasihatkan untuk mengambil tindakan saman malu, kecacatan kekal dan saman teladan sebagai pengajaran agar perkara sebegini tidak berlaku lagi di masa hadapan,” ujarnya.
Akui masih berada dalam keadaan trauma, kata Razman selepas ini dia akan lebih berhati-hati apabila berada di luar dan akan tunggu tindakan selanjutnya daripada pihak polis.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima dua laporan berhubung kejadian pukul 11 malam tadi. – KOSMO! ONLINE