SEBERANG PERAI – Seorang ibu tunggal maut dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Bharu, Tasek Gelugor di sini pagi tadi.
Kejadian berlaku ketika mangsa berusia 39 tahun yang menunggang motosikal jenis Demak dalam perjalanan menuju ke Kubang Menerong dari Jalan Bharu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tasek Gelugor, Mohamad Yazi Taib berkata, pihaknya menerima panggilan pukul 7.07 pagi.
Kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan iaitu dua motosikal masing-masing Demak dan Yamaha LC serta kereta Proton Waja.
“Mangsa ibu seorang anak itu berada dalam keadaan tersepit di bawah kereta dan tidak sedarkan diri. Wanita itu cedera di kepala.
“Operasi mengeluarkan mangsa mengambil masa lima hingga 10 minit dengan menggunakan peralatan khas. Mangsa disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Kementerian Kesihatan yang tiba di lokasi kejadian.
“Penunggang motosikal Yamaha LC cedera akibat terseliuh, manakala pemandu Proton Waja wanita berusia dalam lingkungan 20-an stabil,” katanya. -KOSMO! ONLINE