PEMAIN bola sepak seratus peratus ‘anak tempatan’ dijangka sukar untuk mendapatkan tempat dalam skuad revolusi Harimau Malaya yang bakal dikendalikan oleh pengendali baharu, Peter Cklamovski nanti.
Pandangan tersebut disuarakan oleh pemerhati bola sepak negara, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim kerana Cklamovski dijangka menggunakan ‘acuan’ pemain berdarah warisan dan naturalisasi selepas ini.
Kata Zulakbal, kesebelasan utama Harimau Malaya nanti sudah tentu berwajah baharu selain beberapa pemain import yang bakal diserapkan sebagai tonggak naturalisasi.
“Saya tidak percaya revolusi Harimau Malaya ke arah meningkatkan pemain-pemain tempatan. Justeru, sukar untuk mereka berada dalam kesebelasan utama kecuali yang betul-betul menyerlah.
“Buat masa sekarang, hanya seorang pemain tempatan yang terjamin tempatnya dalam pasukan kebangsaan iaitu Arif Aiman Hanapi (tonggak kelab Johor Darul Ta’zim).
“Selain itu, saya rasa kesebelasan utama akan dibarisi oleh pemain berdarah warisan selain naturalisasi baharu nanti,” katanya kepada Kosmo!.
Sebagai rekod, Harimau Malaya kini sedang merancang untuk memberikan kerakyatan buat tiga pemain import, Bergson Dal Silva (JDT), Manuel Hidalgo (Sri Pahang) dan Giancarlo Gallifuoco (KL City) sekiranya sudah cukup syarat nanti.
Mengulas lanjut, Zulakbal juga percaya Harimau Malaya juga akan dibarisi pemain warisan ‘gred A’ sekiranya Pemangku Sultan Johor, Tengku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim sudah mendapat data yang lengkap daripada FIFA.
“Kita tahu Tunku Mahkota Ismail sudah berbincang dengan FIFA dan kita tunggu sahaja berita yang sahih kerana masih ramai lagi pemain yang ada darah Malaysia di luar negara,” katanya.