MELAKA – Seorang guru lelaki ditahan selepas disyaki mencabul kehormatan dua murid perempuan berusia 12 tahun di dalam kawasan sebuah sekolah di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Md. Nazri Zawawi berkata, tangkapan terhadap suspek berusia 44 tahun itu dijalankan susulan laporan polis dibuat pengadu yang juga guru besar sekolah berkenaan kira-kira pukul 12.48 tengah hari semalam.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku di dalam sebuah rumah hantu yang dibuka dalam kawasan sekolah sempena Hari Karnival Sekolah yang akan berlangsung Sabtu ini.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis telah membuat tangkapan terhadap seorang lelaki di sebuah rumah di Paya Rumput kira-kira pukul 10.25 malam, semalam. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.
“Suspek yang telah berkahwin ditahan reman selama enam hari bermula hari ini sehingga 14 Januari bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Tambah Md. Nazri, siasatan awal mendapati suspek mempelawa kedua-dua mangsa memasuki rumah hantu sebelum bertindak mencabul mereka dari arah belakang.-KOSMO! ONLINE