PETALING JAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua pengarah syarikat dan seorang pegawai agensi sebuah kementerian dipercayai terbabit rasuah bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan Lesen Kenderaan Perdagangan (LKP).
Perintah reman selama empat hari sehingga 12 Januari itu dikeluarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut sumber, ketiga-tiga lelaki berusia 40 hingga 50-an itu disyaki terbabit dalam kegiatan mendapatkan surat tawaran kelulusan LKP tanpa memenuhi syarat yang ditetapkan Kementerian Pengangkutan.
“Syarikat-syarikat ini dipercayai bersekongkol dengan pegawai agensi berkenaan dengan menyediakan maklumat palsu bagi mendapatkan surat tawaran kelulusan permohonan baharu LKP Kelas Lesen Pembawa dengan bayaran RM3,500 setiap permohonan.
“Pihak syarikat akan membantu mana-mana pihak memalsukan dokumen seperti penyata bank dan menguruskan proses permohonan termasuk Surat Tawaran Kelulusan (STK), Surat Kelulusan Lanjut Usia (SKLU) bagi membolehkan kenderaan Perdagangan menjalani pemeriksaan awal,” katanya.
Semalam, ketiga-tiga suspek bersama lima lagi individu ditahan dalam Op Loader yang dilaksanakan Bahagian Perisikan SPRM di Melaka dan Lembah Klang.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE