TANAH MERAH – Dua lelaki maut selepas motosikal yang mereka tunggang bertembung di Jalan Batu Hitam, Kampung Batang Bergedik di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam itu, mangsa pertama yang berusia 18 tahun menghembuskan nafas semasa dirawat di Hospital Tanah Merah di sini manakala seorang lagi berusia 45 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, siasatan awal mendapati, seorang lelaki berusia 18 tahun yang merupakan penganggur menunggang motosikal jenis Yamaha 135LC sedang dalam perjalanan dari arah Gual Ipoh menghala ke Kampung Peralla di sini.
Menurutnya, pada masa sama, seorang pemandu jentera yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 berada di laluan bertentangan.
“Penunggang motosikal Yamaha 135LC itu dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan semasa tiba di lokasi kejadian.
“Keadaan itu menyebabkan motosikalnya bertembung dengan motosikal Honda EX5 ditunggang pemandu jentera tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Haki memberitahu, kemalangan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa terjatuh ke atas jalan raya sebelum sebuah motosikal jenis Modenas Kriss yang berada di belakang motosikal Honda EX5 tidak sempat mengelak.
Menurutnya, motosikal tersebut kemudian merempuh penganggur yang berada di atas jalan raya dan penunggangnya turut terjatuh.
“Kedua-dua mangsa yang bertembung masing-masing mengalami kecederaan parah pada bahagian badan dan kepala manakala penunggang motosikal Kriss hanya cedera ringan.
“Penganggur itu meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tanah Merah dan seorang lagi mangsa yang parah maut di lokasi kejadian,” ujarnya.
Mohd. Haki berkata, penunggang motosikal Modenas Kris menerima rawatan sebagai pesakit luar di Klinik Kesihatan Gual Ipoh di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE