ISKANDAR PUTERI – Seorang lelaki dipukul sebelum dilarikan sekumpulan individu ketika berada di kedai makan bersama teman wanitanya di Taman Nusa Bestari, Skudai di sini, malam Khamis lalu gara-gara gagal membayar hutang lebih RM37,000.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, mangsa berusia 24 tahun bekerja sebagai juruacara bagaimanapun berjaya diselamatkan dalam tempoh lima jam selepas penahanan lima lelaki berusia 20 hingga 29 tahun.
“Polis menerima laporan pada pukul 11.23 malam daripada teman wanita mangsa berusia 29 tahun. Lima suspek ditahan pada pukul 1.20 pagi keesokan hari di sekitar Taman Nusa Bestari,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Kumarasan berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek tersebut mempunyai rekod kes dadah. Polis merampas dua buah kereta mewah dan objek keras.
“Empat daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini. Mereka mengaku tidak salah, manakala seorang suspek lagi yang tidak dituduh akan dijadikan saksi pendakwaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE