SHAH ALAM – Sebuah taman asuhan kanak-kanak di Bandar Saujana Putra dekat sini yang terlibat dalam kes kematian seorang bayi lelaki empat bulan telah diarahkan tutup, kelmarin.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor, Azmir Kassim berkata, pihaknya pihaknya telah mendapat pemakluman kejadian itu daripada pihak polis pada Ahad lalu.
“JKM kemudiannya telah turun ke taska pada Isnin lalu dan telah mengarahkan taska untuk tutup operasi mulai kelmarin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan bayi lelaki berusia empat bulan mati selepas dihantar ke sebuah taska tidak berlesen di Bandar Saujana Putra di Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3. 29 petang daripada seorang doktor sebuah klinik dengan bayi itu dibawa seorang pengasuh taska dalam keadaan pucat kebiruan pada bibir dan kaki, tiada nadi serta nafas selain tiada pergerakan anak mata bila disuluh lampu.
“Pengadu (doktor) serta merta melakukan bantuan pernafasan atau resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan bantuan oksigen sementara menunggu ambulans untuk dibawa ke Hospital Cyberjaya.
“Pihak hospital menerima bayi berkenaan kira-kira pukul 4.35 petang hari sama dan melakukan CPR lebih 30 minit sebelum disahkan maut pukul 5. 05 petang hari sama. – KOSMO! ONLINE