JEDDAH – Bintang muda Barcelona, Lamine Yamal melaungkan keyakinan tinggi mereka mampu menjuarai Piala Super Sepanyol selepas mengesahkan tempat ke pentas final musim ini.
Ia susulan kemenangan 2-0 ke atas Athletic Bilbao hasil jaringan Gavi dan Yamal dalam aksi separuh akhir di Stadium King Abdullah Sports City yang berlangsung di Jeddah, Arab Saudi awal pagi tadi.
Lebih manis, kemenangan itu diraih tanpa kehadiran perancang Sepanyol, Dani Olmo yang mendapat kelulusan untuk bermain buat sementara waktu pada saat-saat akhir sebelum aksi tersebut berlangsung.
“Athletic adalah pasukan yang cukup berfizikal dan memaksa anda kerap berlari sepanjang perlawanan. Saya akui kami berdepan kesulitan tetapi mujur kami berjaya mengatasinya sehingga tamat permainan.
“Saya gembira dapat menjaringkan gol dalam kemenangan ini. Saya harap dapat meneruskan momentum ini di perlawanan akhir nanti sama ada bertemu Real (Madrid) atau (Real) Mallorca,” kata Yamal.
Kejayaan ke final menyaksikan Olmo akan kembali menguatkan kesebelasan utama Barcelona sekali gus memberikan kelegaan kepada skuad bimbingan Hansi Flick itu.
“Sudah tentu kami semua berdebar menantikan keputusan sama ada dia (Olmo) boleh bermain atau tidak tetapi ia (keputusan) itu dibuat terlalu lewat.
“Tidak kisah siapa kami bertemu di final tetapi saya percaya ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Apa pun kami mahu menang dan menjuarai kejohanan ini,” tambah Yamal. – AGENSI