JOHOR BAHRU – Seorang bapa tujuh anak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memukul lelaki berusia 56 tahun sehingga parah dengan kayu snuker bulan lalu.
Tertuduh, Mohd. Salehudin Mohamed, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Lelaki itu didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa dengan sebatang kayu snuker di sebuah pusat snuker di Taman Rinting, Masai di sini pada pukul 10.55 malam, 4 Disember lalu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 berserta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah selain perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.
Ahmad Kamal Arifin menetapkan 13 Februari ini untuk sebutan semula kes.-KOSMO! ONLINE