PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto mengadakan perbincangan usaha mengukuhkan hubungan dua hala di ibu negara, hari ini.
Anwar dalam satu hantaran memaklumkan, dalam pertemuan itu turut dibincangkan ialah hal perbatasan, pengambilan tenaga kerja, kordinasi hal nelayan di kawasan pertikaian Selat Melaka, perdagangan, pelaburan, ekonomi, sosiobudaya, pertahanan dan keselamatan.
“Hari ini saya meraikan kehadiran sahabat baik saya, Presiden Republik Indonesia Prabowo Subianto yang dalam lawatan kerja rasminya ke negara ini. Ini merupakan kunjungan pertama beliau ke Malaysia sejak dilantik sebagai Presiden pada Oktober 2024,” katanya.
Anwar berkata, pertemuan itu diadakan dalam satu jamuan makan tengah hari tertutup di Rumah Tangsi, Kuala Lumpur.
“Ruang lingkup singkat dan bermakna ini kami manfaatkan sepenuhnya bagi terus mempereratkan hubungan erat yang terjalin selama ini.
“Insya-Allah, saya percaya, sinergi pertemuan ini akan digunakan bagi meneroka peluang baharu untuk dimanfaatkan demi masa depan lebih baik untuk kedua-dua negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE