PETALING JAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah merakam percakapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong, Dr. Mohd Zamri Mohd Zainuldin berkaitan suatu hantaran palsu mengenai Perdana Menteri, di Facebook, Selasa lalu.
MCMC menerusi kenyataannya berkata, tindakan itu dibuat susulan pihak mereka menerima aduan orang ramai berhubung akaun-akaun Facebook terlibat dan salah satunya dikesan adalah milik ADUN berkenaan.
“Siasatan mendapati, kebanyakan akaun terbabit merupakan akaun palsu. Namun, pihak MCMC telah mengenal pasti bahawa salah satu daripada akaun yang diadukan adalah akaun milik ADUN Sungai Burong.
“Susulan itu, MCMC telah merakam percakapan Dr. Mohd Zamri Mohd Zainuldin pada 7 Januari 2025 bagi membantu siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” kata kenyataan itu.
Menurut MCMC, dalam pemeriksaan yang dijalankan bersama PDRM itu, satu unit telefon pintar dan satu unit kad sim telah diminta untuk diserahkan sebagai bahan bukti kes bagi membantu siasatan.
“Analisis forensik akan dijalankan ke atas peranti itu untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun, atau kedua-duanya sekali,” tambah kenyataan sama. – KOSMO! ONLINE