KLUANG – `Perang mulut’ dikatakan menjadi punca pergaduhan dua kumpulan dalam kejadian di sebuah kedai mamak di bandar ini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, dalam kejadian pukul 9.45 malam itu, pihaknya memberkas 13 lelaki berusia 17 hingga 54 tahun bagi membantu siasatan.
“Mereka ditahan pada pukul 11.15 malam di tiga lokasi di daerah ini. Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perang mulut antara mereka sejak dua hari lalu sebelum saling mencabar untuk datang ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Bahrin berkata, semakan mendapati lima daripada suspek mempunyai rekod kes dadah dan jenayah. Mereka direman selama empat hari sehingga 12 Januari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE