KOTA BHARU – Sebanyak 115 projek pembangunan baharu diluluskan untuk Kelantan melalui pelan pusingan kelima (RP5) bagi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) pada tahun ini.
Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, kelulusan berkenaan menjadikan jumlah keseluruhan projek pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini adalah sebanyak 467 projek dengan kos semasa RM25.7 bilion.
Menurutnya, sebanyak RM2.4 bilion iaitu 84.9 peratus daripada peruntukan asal RM2.8 bilion telah dibelanjakan di Kelantan pada pelan pusingan keempat (RP4) RMK-12.
“Ia menunjukkan prestasi baik dalam pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini. Kita harap prestasi perbelanjaan pada tahun ini akan lebih baik dengan pelbagai projek pembangunan yang akan dimulakan pelaksanaannya.
“114 projek pembangunan RP4 RMK12 telah berjaya disiapkan di Kelantan pada tahun lalu,” katanya pada sidang akhbar selepas Sesi Perjumpaan Khas Pengerusi Bersama MTPNg Dengan Ketua-Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam memberitahu, projek pembangunan RP4 yang berjaya disiapkan antaranya pembesaran dan naik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Fasa 1, pembinaan Hospital Bachok, pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli dan pembangunan Kolej Komuniti Jeli yang baharu.
Menurutnya, beberapa projek berimpak tinggi juga telah memulakan pelaksanaan termasuk fasiliti-fasiliti sukan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2028, pembinaan Jambatan Palekbang dan Pembangunan Lembagan Sungai Bersepadu (PLSB) – Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kota Bharu. – KOSMO! ONLINE