PETALING JAYA – Tindakan sekumpulan guru memasak untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) telah mencuri perhatian pengguna media sosial apabila video mereka tular di platform TikTok.
Menerusi perkongsian video oleh nurshidahshidah69 memaparkan suasana meriah bak karnival keusahawanan apabila mereka berganding bahu menyediakan sarapan buat pelajar sebagai suntikan semangat menjelang peperiksaan.
Pada hantaran video itu juga menyatakan, unit kokurikulum sekolah berkenaan menyediakan dapur dan gas, manakala guru-guru membawa peralatan memasak masing-masing untuk menyediakan makanan buat pelajar.
Hantaran itu turut memaklumkan nasi lemak turut disumbangkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, menambah lagi elemen kebersamaan dalam program tersebut.
Rata-rata pengguna media sosial memuji inisiatif tersebut sebagai usaha murni untuk mendekati pelajar dan mencipta kenangan manis sebelum mereka melangkah ke dewan peperiksaan.
“Cikgu-cikgu ibarat ibu dan bapa, semua bertungkus lumus nak pastikan anak-anak di sekolah terisi perutnya sebelum masuk ke dewan peperiksaan, syabas,” kata Potato Couch.
“Sebagai ibu bapa anak yang SPM, sangat terharu dengan cikgu, semangat cikgu-cikgu buat saya menangis walaupun anak saya sekolah lain,” ujar sitihasmahkipli.
“Berkat air tangan cikgu-cikgu semoga berjaya dengan cemerlang anak-anak,” jelas Its’me Butterfly.
Video yang tular itu kini mencapai hampir seribu tanda suka dan mendapat pelbagai reaksi positif daripada masyarakat. – KOSMO! ONLINE
@nurshidahshidah69 Hari-hari yang bermakna buat warga BeSS…#smkbedong #BeSS #mystory #bahagiacarakita ♬ original sound – nurshidahshidah69