PETALING JAYA – “Ayah dan arwah ibu buat rumah ini pakai (guna) duit simpanan untuk ‘settle down’ (menetap) di sana, tapi apakan daya.”
Demikian luahan seorang lelaki mengenai perkongsian video memaparkan sebuah banglo di tepi pantai di Kampung Tanjung, Batu Rakit, Kuala Terengganu yang tebingnya terhakis teruk.
Pemilik akaun @Syamimafif menerusi ruangan komen di di TikTok turut menjelaskan, rumah tersebut adalah milik bapa dan arwah ibunya yang berasal dari Selangor.
“Terima kasih, rumah ayah saya. Kami orang Selangor,” katanya.
Dalam masa sama, individu berkenaan turut berkongsi video memaparkan jarak banglo itu yang jauh dari pantai sebelum berlakunya hakisan.
Ada yang mengatakan rumah tersebut masih boleh diselamatkan dan mencadangkan supaya tebing yang terhakis ditambak bagi mengelakkan ia bertambah teruk.
“Betul, dah cuba usaha tapi apakan daya ombak terlalu kuat,” balasnya.
Rata-rata orang ramai meluahkan rasa terkejut dengan keadaan semasa kediaman itu umpama menunggu masa untuk ditelan ombak.
“Rumah ini memang jauh dari laut. Tak sangka boleh jadi sedekat ni,” komen @Julia Shapiee.
“Suami saya cakap, dulu laut jauh nun di sana. Sekarang makin lama, makin dekat dengan jalan besar, kongsi @Jane.
“Teruknya hakisan. Makin dekat dengan jalan. Kasihannya penduduk yang terkesan. Rumah besar, cantik,” tambah @azulia. – KOSMO! ONLINE
@zak189898♬ suara asli – 𝙍𝙞𝙖 | Kisah Inspirasi 💙