TAMPIN – Seorang tukang masak warga Indonesia maut apabila motosikal yang ditunggangnya merempuh seekor lembu di kilometer 43, Jalan Tampin – Gemas di sini tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 12.30 tengah malam itu, mangsa lelaki berusia 26 tahun yang bekerja di sebuah kedai makan di Sungai Kelamah menunggang motosikal jenis Modenas Kriss.
Menurutnya, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan dari kedai makan menghala rumahnya di Taman Pinggiran Sungai Kelamah.
“Mangsa yang parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Tampin untuk bedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada pemberita. – KOSMO! ONLINE