fbpx

K2

Trio memanah berkuda remaja negara cipta sensasi di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TRIO Malaysia menominasi podium kategori umum Kejohanan Memanah Berkuda Liga Kebangsaan Indonesia siri dua di Bandi stable, Banten, Indonesia baru-baru ini.

MEMANAH berkuda merupakan salah satu cabang sukan yang menggabungkan kemahiran memanah dengan ketangkasan menunggang kuda.

Aktiviti itu berasal daripada tradisi peperangan silam, di mana memanah berkuda menjadi salah satu kelebihan strategik di medan perang.

Kini, aktiviti tersebut telah berkembang menjadi sukan rekreasi dan pertandingan yang popular di beberapa negara termasuk Malaysia.

Baru-baru ini, tiga anak muda daripada Akademi Pemanah Berkuda Alam Warisan berjaya mengangkat nama negara di Kejohanan Memanah Berkuda Liga Kebangsaan Indonesia siri dua di Bandi stable, Banten, Indonesia.

Trio Malaysia tersebut ialah Abu Bakr Muhamad Akmal, 12, yang merangkul tempat pertama bagi kategori keseluruhan diikuti Abdurrahman Abu Hanifah, 16, di tempat kedua dan Muhammad Muhamad Akmal, 14, di tempat ketiga.

Lebih menakjubkan, ketiga-tiga remaja itu mewakili Malaysia dalam kategori senior, sekali gus mengetepikan pemanah berkuda dari rantau Asia Tenggara yang lain.

Abu Bakr meluahkan rasa syukur terhadap pencapaiannya itu setelah melalui saat getir apabila tali busurnya tertanggal sehari sebelum hari pertandingan.

“Mujurlah, ada busur yang dihadiahkan kepada jurulatih dan saya menggunakan busur itu pada saat akhir.

“Mungkin hikmah itu membolehkan saya berjaya membuat panahan tepat semasa di tower 90 pada jarak 45 meter di atas kuda yang kecepatannya tujuh saat.

“Kuda saya juga menyumbang kepada kemenangan ini.

ABDURRAHMAN Abu Hanifah mendapat tempat kedua.

“Saya dapat kuda yang cukup bersemangat dan serasi dengan saya,” katanya kepada K-Remaja.

Kejohanan Memanah Berkuda Liga Kebangsaan Indonesia itu merupakan anjuran PERDANA Perkumpulan Pemanah Berkuda Indonesia dan KBPI Komunitas Panahan Berkuda Indonesia.

Kejohanan yang berlangsung selama dua hari itu mempertandingkan dua kategori iaitu senior dan junior.

Seramai 63 orang peserta dari tiga buah negara iaitu Indonesia, Malaysia dan Thailand menyertai pertandingan tersebut.

Mengulas lanjut, Abu Bakr berkata, Thailand dan Indonesia memberikan saingan getir kerana peserta dari kedua-dua negara itu merupakan atlet berpengalaman di peringkat antarabangsa.

“Peserta dari Indonesia dan Thailand pernah layak ke pertandingan world cup di Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

“Bagi peserta Indonesia pula, ada peserta yang pernah mendapat tempat ketiga dunia.

“Masa kami sampai, mereka sepertinya sudah seminggu berlatih, manakala kami hanya ada sehari untuk berlatih dan menyesuaikan diri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengurus Pasukan Malaysia, Muhamad Akmal Mohamad Dahalan berpendapat, kejayaan anak-anak muridnya itu merupakan petanda yang sangat baik untuk Malaysia kembali menjadi juara dunia.

Katanya, Malaysia pernah menjadi juara dunia acara Serial Shoot Team dan pingat perak acara Serial Shoot Individual di pertandingan 15th World Horseback Archery Championship 2019 di Sokcho, Korea Selatan.

“Dengan kemenangan berganda ini, saya berharap agar lebih ramai yang akan terlibat dan mengikuti sukan sunnah ini, sekali gus merealisasikan impian kembali bergelar juara dunia.

“Saya juga berharap akademi memanah berkuda yang lain turut tampil menaja pasukan masing-masing untuk bertanding di peringkat antarabangsa ,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI