KUALA LUMPUR – Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mencemaskan Axiata Arena buat seketika sebelum memastikan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025.
Pada aksi pusingan pertama yang berlangsung sebentar tadi, bekas juara dunia itu dipaksa bekerja keras sebelum mencatat kemenangan tiga set 21-15, 16-21, 21-10 ke atas Chen Zhi Yi-Presley Smith dari Amerika Syarikat dalam tempoh 58 minit.
Wooi Yik berkata, aksi mereka di set kedua agak menurun memandangkan mereka terpaksa berdepan arah angin dan ia menjurus kepada kekalahan kepada pasangan No.37 dunia itu.
“Mungkin saya rasa kita tidak meningkatkan tempo dan tidak dapat menyesuaikan diri untuk melawan arah angin. Mereka juga melakukan serangan dan daripada permulaan lagi tidak sesuai tetapi kami tahu nak buat apa.
“Berdasarkan pengalaman saya di Terbuka Malaysia, setiap hari pun akan berbeza (arah) angin ini. Selalunya angin memang macam itu tetapi kami fikir hanya jalankan tugas dan ikut perancangan,” katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Menjelang pusingan kedua esok, beregu No.6 dunia itu akan menantikan pemenang antara dua pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han dan Lee Fang Chih-Lee Fang Jen yang akan membuat perhitungan selepas ini. – KOSMO! ONLINE