fbpx

[VIDEO] Tak berhenti berdoa, Farid Kamil rindu ‘bau’ keluarga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Farid berdoa agar dapat kembali menjalani kehidupan bahagia bersama isteri, Diana Danielle serta dua anak mereka seperti dulu. Foto oleh AFIQ RAZALI

SERDANG – “Satu perkara yang saya sentiasa rindukan adalah ‘bau’ keluarga.”

Itu luahan pelakon dan pengarah Farid Kamil yang kini memperbanyakkan doa agar dapat kembali menjalani kehidupan bahagia bersama isteri, Diana Danielle serta dua anak mereka seperti dulu.

Kata Farid atau nama lengkapnya Farid Kamil Zahari, 43, tiada senjata paling ampuh berbanding memohon kepada Allah yang turut mampu mengubati kerinduan terhadap insan kesayangan.

“Percutian bersama keluarga. Itu perkara yang saya rindu. Setiap kali terbit perasaan rindu saya memperbanyak istighfar, insya-Allah hati rasa tenang dalam apa jua keadaan.

“Pada saya, di dalam situasi sekarang tiada senjata, bahan atau warna yang boleh menyampaikan hasrat saya ketika ini melainkan berdoa.

“Saya tidak berhenti berdoa supaya suatu hari nanti keluarga saya kembali berbahagia seperti dulu insya-Allah, itu harapan saya,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Hukum Kifarah di sini, semalam.

Tetap menaruh harapan walau kes perceraian masih dalam proses mahkamah, Farid mengakui kini dalam fasa memperbaiki diri demi menjadi ketua keluarga yang baik.

“Terus terang perhubungan saya dengan isteri dan anak-anak masih sama seperti dulu. Apa yang boleh saya katakan, saya dalam perjalanan untuk memperbaiki diri dan cuba menempuhi masalah dengan reda.

“Walaupun dalam keadaan yang tidak begitu baik, tetapi saya akan tetap berusaha ke arah insan lebih baik,” ujarnya.

Ditanya sama ada berjumpa kedua-dua permata hati, Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10, katanya, tiada sebarang halangan, namun dia ingin mencapai misi dahulu sebelum berkumpul semula dengan mereka.

“Kali terakhir jumpa anak tahun lalu, sudah lama tak jumpa. Bukan tak boleh jumpa, tiada masalah dan halangan cuma ketika ini saya perlu berjalan seorang diri untuk mendapatkan apa yang dicari.

“Saya dan anak-anak pum memang selalu berhubung menerusi panggilan telefon, cuma kalau berjumpa, tahun ini masih belum lagi,” katanya.

Pada masa sama, pelakon utama Hukum Kifarah itu memaklumkan bakal sibuk memenuhi jadual kerja tahun ini termasuk duduk di kerusi pengarah semula.

“Allamdulillah penerbit, Captain Palani menaruh kepercayaan kepada saya untuk memegang peranan utama dalam filem genre komedi ini yang mengembalikan semula karakter pernah saya galas sekitar dua dekad lalu.

“Selain penggambaran filem baharu serta promosi sebuah lagi naskhah yang bakal ditayangkan, pertengahan tahun ini saya kembali mengarah, jadi semakin sibuk,” ulasnya.

Kemelut rumah tangga Farid dan Diana sekali lagi menjadi perhatian selepas isterinya itu mengumumkan mahu bercerai selepas setahun rujuk.

Farid bagaimanapun mempertahankan ikatan mereka kerana menyayangi Diana dan anak-anak sebelum kes perceraian itu kini melalui prosiding di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mac depan untuk sebutan semula dan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) kedua-dua belah pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI