PETALING JAYA – Pelakon Rozita Che Wan mendedahkan sudah membayar cukai sebanyak RM50,000 yang dipercayai dibuat kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) secara tunai.
Bagaimanapun, Rozita atau lebih mesra disapa Che Ta itu tidak memaklumkan lebih lanjut tentang perincian pembayaran cukai taksiran tersebut.
“Selesai sudah baki bayaran tahun lepas.
Bayar cukai ini memang sampai mati. #LHDN,” tulisnya dalam InstaStory.
Sebelum ini, sumber memberitahu kepada Kosmo! tentang notis isytihar bankrap yang didakwa dikeluarkan Mahkamah Tinggi Malaya Shah Alam akibat kegagalan menjelaskan cukai LHDN.
Bagaimanapun, pelakon drama Kak Marr itu tidak tahu-menahu mengenai penyebaran notis tersebut selain menegaskan tiada masalah dengan LHDN kerana konsisten melakukan bayaran setiap bulan melalui ejen yang dilantik.
Selain LHDN, Che Ta juga terpalit isu pinjaman hutang dengan Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang dipercayai dibuat pada 2017.
Dikatakan, pinjaman Mara berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn. Bhd. dengan Rozita dan anak lelakinya itu sebagai penjamin.
Difahamkan, Che Ta pernah melunaskan pinjaman hutang sebanyak RM50,000 sebelum ini kepada Mara.
Dia juga pernah hadir ke pejabat agensi tersebut pada Disember lalu bagi melangsaikan pinjaman tetapi tidak dapat dipastikan amaun pembayaran. -KOSMO! ONLINE