KUALA LUMPUR – Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memohon maaf kepada semua pihak khususnya kepada pihak penganjur dan peminat sukan badminton berikutan insiden kebocoran bumbung di Axiata Arena malam semalam yang telah mengganggu perjalanan Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025.
Insiden kebocoran tersebut berlaku akibat proses penggantian bumbung lama yang bermula sejak pertengahan tahun 2024 dan dijalankan tanpa perlu menutup Axiata Arena.
Ketua Pegawai Eksekutif PSM, Encik Iliyas Jamil menjelaskan bahawa kerja-kerja proses pertukaran bumbung tersebut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melalui kontraktor yang dilantik.
Ujarnya, kebocoran berlaku kerana titisan air hujan dan terkena pada permukaan gelanggang.
“PSM bersama kontraktor telah segera mengambil tindakan untuk mengalihkan aliran air sejak jam 4.30 petang dan gelanggang kembali boleh digunakan pada jam 8.00 malam.
“Pada malam tersebut, kami bersama kontraktor telah melaksanakan kerja tambahan bagi memastikan masalah ini tidak berulang pada hari-hari berikutnya. Sebagai langkah pencegahan, lebih 10 orang kakitangan akan ditempatkan di kawasan bumbung sepanjang kejohanan berlangsung untuk memantau dan memastikan insiden ini tidak berulang.
“Kerja-kerja tambahan juga sedang dilakukan oleh pihak JKR dan kontraktor untuk menangani kawasan-kawasan yang dikenal pasti bermasalah,” kata Iliyas dalam satu kenyataan.
Berikutan insiden tersebut, PSM turut menegaskan bahawa pihak kontraktor yang dilantik telah memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Ketika ini, ketiga-tiga gelanggang boleh digunakan sepenuhnya biarpun malam semalam hanya Gelanggang 3 ditutup kerana permukaan gelanggang tersebut masih basah.
Susulan penangguhan perlawanan malam semalam, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) mengeluarkan kenyataan bahawa perlawanan yang ditunda akan dipindah ke aksi hari ini membabitkan pemain perseorangan China, Li Shi Feng menentang Priyanshu Rajawat (India), Pornpawee Chochuwong (Thailand) menentang Anupama Upadhyaya (India).
Aksi perlawanan perseorangan wanita antara Aakarshi Kashyap (India) melawan Julie Dawall Jakobsen (Denmark) turut berlangsung hari ini termasuk pertembungan antara beregu lelaki dari Denmark, Rasmus Kjaer-Frederik Sogaard menentang Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani.
Semalam, perlawanan di Gelanggang 2 dihentikan pada jam 3.56 petang menyaksikan perlawanan antara Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian-Zhang Shu Xian melawan Go Pei Kee-Teoh Mei Xing disambung pada jam 8 malam, semalam. -KOSMO! ONLINE