IPOH – Sebanyak 393 unit sabun pencuci tiruan dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak dalam dua serbuan berasingan di Seri Iskandar dan Taiping semalam.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat dan aduan oleh wakil pemilik cap dagang berhubung penjualan sabun pencuci berjenama terkenal yang disyaki tiruan di premis-premis berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dilakukan telah menemui sebanyak 393 unit sabun pencuci yang kesemuanya disyaki menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan tersebut.
“Wakil syarikat cap dagang telah melakukan pengesahan awal ke atas semua sabun pencuci terbabit dan disyaki premis telah melakukan kesalahan di bawah Sek 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019.
“Kesalahan itu adalah mempunyai dalam milikan, jagaan dan kawalannya bagi maksud perdagangan atau pengilangan apa-apa barang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya di sini hari ini.
Kamalludin berkata, kesemua barangan dan dokumen telah disita untuk siasatan lanjut dan nilai rampasan keseluruhan melibatkan dua premis di daerah tersebut dianggarkan berjumlah RM7,104.27.
“KPDN juga ingin menegaskan agar peniaga tidak menjual barangan tiruan dan tindakan tegas akan dikenakan kepada mereka yang melanggar Akta Cap Dagangan 2019,” katanya. – KOSMO! ONLINE