fbpx

Piala Dunia 2026 jadi sasaran Kluivert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KLUIVERT dikatakan telah bersetuju dengan kontrak dua tahun beserta tambahan dua tahun lagi bersama Indonesia. - AFP

JAKARTA – Indonesia dilihat benar-benar serius untuk mengesahkan tempat automatik ke pentas Piala Dunia 2026 dengan kehadiran legenda Barcelona dan juga Belanda, Patrick Kluivert sebagai ketua jurulatih baharu pasukan itu.

Kelmarin, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) mengesahkan pemecatan ketua jurulatih dari Korea Selatan, Shin Tae-yong sebelum pakar perpindahan, Fabrizio Romano mendedahkan Kluivert bakal mengisi kekosongan tersebut.

Kluivert, 48, yang akan diperkenalkan secara rasmi pada 12 Januari ini, dikatakan telah bersetuju dengan kontrak dua tahun beserta lanjutan tambahan dua tahun lagi bersama skuad Sang Garuda.

Menariknya, Presiden PSSI, Erick Thohir juga dipercayai bakal melantik seorang lagi legenda Belanda yang juga bekas pengurus Manchester United, Louis van Gaal sebagai pengarah sukan pasukan itu seperti didakwa media berpengaruh Sepanyol, Marca.

Ia secara tidak langsung bakal menyaksikan masalah komunikasi antara pemain-pemain Indonesia dijangka selesai memandangkan 12 pemain warisan dari Belanda seperti kapten mereka yang merupakan bintang Venezia di Serie A, Jay Idzes.

Ketika ini, Indonesia menduduki tangga ketiga Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2026, kurang satu mata lagi dengan Australia di kedudukan kedua yang merupakan slot automatik ke pentas berprestij dunia itu nanti.

Kemenangan ke atas Australia dan Bahrain dalam dua aksi seterusnya dijadualkan 20 dan 25 Mac depan, mampu merealisasikan impian itu sekali gus menjadi wakil Asia Tenggara pertama layak ke Piala Dunia.

Selepas bersara sebagai pemain pada 2008, Kluivert lebih banyak memainkan peranan sebagai penolong jurulatih terutamanya ketika bersama Belanda meraih tempat ketiga Piala Dunia 2014.

Kemudiannya, Kluivert melatih Curacao, dilantik Pengarah Bola Sepak Paris Saint-Germain, menjadi penolong jurulatih Cameroon kepada Clarence Seedorf, Pengarah Akademi Barcelona dan seterusnya beliau mengendalikan kelab Turkiye, Adana Demirspor. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI