PERTH – Sebuah pesawat laut ringan yang membawa pelancong dari Eropah terjunam ke dalam lautan di negeri Australia Barat dan membunuh tiga orang, kata pihak berkuasa hari ini.
Pesawat itu terhempas petang semalam (waktu tempatan) ketika ia meninggalkan Pulau Rottnest.
Ketika pasukan mencari dan menyelamat mengutip serpihan dari laut hari ini, Perdana Menteri Roger Cook mengesahkan tiga orang maut dan empat yang lain terselamat.
Antara mangsa terkorban ialah seorang wanita berusia 65 tahun dari Switzerland, seorang lelaki Denmark berusia 60 tahun dan juruterbang tempatan berusia 34 tahun.
“Tiga orang terkorban apabila sebuah pesawat laut terhempas beberapa saat setelah ia berlepas,” kata Cook kepada pemberita.
“Tragedi itu berlaku di hadapan ramai pelancong, termasuk keluarga dan kanak-kanak yang berada di pulau itu untuk menikmati percutian musim panas,” tambah Cook.
Terdapat laporan bahawa pesawat itu melanggar batu di permukaan laut ketika ia sedang berlepas.
“Laporan awal itu tidak disahkan. Pada peringkat ini, punca nahas masih tidak diketahui,” kata Cook.
Terletak kira-kira 30 kilometer di barat bandar ibu negeri, Perth, Pulau Rottnest ialah salah satu destinasi pelancongan utama di Australia Barat yang terkenal dengan haiwan dipanggil quokka. – AFP