JOHOR BAHRU – Seorang peniaga gerai makanan ditahan selepas dipercayai memuat naik satu hantaran di media sosial yang berbaur penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki tempatan berusia 55 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini pada pukul 7 malam, 30 Disember lalu.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan lelaki berkenaan untuk memuat naik hantaran tersebut.
“Suspek dipercayai merupakan pemilik sebuah akaun X dan telah memuat naik kenyataan bertulis, ‘Sebagai rujukan rakyat Malaysia untuk PRU16 – Kes Hannah Yeoh Menjadi duta tuhan dan menyebarkan agamanya secara senyap melebihi kes GISBH namun agong mendiamkan diri.
”Jadi saya tolong jawab ya kenapa agong masih membisu, buat masa ini agong masih lagi perlukan duit, duit masih tidak cukup kalau dia berbunyi nanti duit tak masuk. Harap rakyat Malaysia faham ya’,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Kumar memberitahu, kertas siasatan telah dilengkapkan dan suspek akan dituduh di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948. – KOSMO! ONLINE