GUA MUSANG – Lebih 100 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1 di sini kerugian kira-kira RM5 juta sejak dua tahun lalu selepas ladang tanaman kelapa sawit yang mereka usahakan dimusnahkan kawanan gajah liar.
Menurut peneroka, kira-kira lapan ekor gajah dikesan menceroboh dan merosakkan tanaman kelapa sawit hampir setiap bulan sehingga menyebabkan setiap daripada mereka kerugian RM50,000.
Seorang peneroka, Wan Mohd. Nusi Wan Yusoff, 65, berkata, peneroka perlu menanggung kos kerugian pokok, baja dan proses tanam semula kelapa sawit yang telah dirosakkan gajah dalam tempoh tersebut.
“Kami berharap Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat bekerjasama memindahkan kawanan gajah ini bagi mengelak kerugian yang lebih besar.
“Kami juga bimbang dengan keselamatan nyawa peneroka dan anak peneroka yang datang ke ladang kelapa sawit ini sekiranya terserempak dengan gajah berkenaan,” katanya ketika ditemui di RKT Kesedar Paloh 1 di sini semalam.
Abd. Hadi Jusoh, 58, berkata, lebih 100 daripada 270 peneroka di kawasan itu terutamanya di ladang sawit fasa tiga dan empat terkesan dengan ancaman haiwan liar.
Katanya, lebih lima laporan telah dibuat berkaitan ancaman gajah kepada Perhilitan dan Kesedar, namun usaha memindahkan haiwan itu masih belum dilakukan sehingga kami menanggung kerugian berulang.
“Gajah liar itu telah merosakkan pokok-pokok kelapa sawit kami untuk mengambil umbutnya.
“‘Kami sangat kecewa kerana sudah banyak wang dilabur dan tenaga dicurah selama ini. Kami harap Perhilitan dapat mengatasi masalah ini dengan memindahkan gajah ke kawasan lain,” katanya.
Seorang anak peneroka, Muhammad Hilmi Zahari, 29, yang membantu keluarganya melakukan kerja di ladang berkata, dia pernah terserempak dan merakam kelibat gajah dalam jarak kira-kira 50 meter.
Katanya, dianggarkan lapan ekor gajah berada di kawasan ladang itu sejak hampir dua tahun lalu sehingga ada yang sudah beranak-pinak.
“Saya melihat gajah berada di kawasan ladang fasa empat dan merosakkan tanaman kelapa sawit beberapa hari lalu,” katanya.