fbpx

Pemandu lori ditahan bantu siasatan lelaki maut tersangkut kabel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Palang motolori yang tertarik kabel menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Jalan Kulim, semalam.

SEBERANG PERAI – Seorang pemandu lori ditahan reman bagi membantu siasatan kes penunggang motosikal maut selepas lehernya tersangkut pada kabel telekomunikasi yang terjatuh akibat ditarik palang kren di Jalan Kulim, Bukit Mertajam di sini semalam.

Tempoh tahanan reman selama tiga hari terhadap lelaki berusia dalam lingkungan 20-an itu bermula hari ini sehingga 8 Februari nanti.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, siasatan kes tersebut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis menerima maklumat berhubung kemalangan yang membabitkan sebuah motosikal dan sebuah motolori kren itu kira-kira pukul 5 petang.

“Mangsa lelaki tempatan berusia 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran kecederaan parah pada bahagian leher,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit sedang dalam perjalanan dari arah Kulim ke Bukit Mertajam.

“Tiba di lokasi kejadian, palang kren di bahagian belakang motolori berkenaan telah tersangkut pada kabel telekomunikasi yang melintang dan mengakibatkan kabel terbabit jatuh di atas jalan raya.

“Mangsa yang menunggang motosikal dari arah bertentangan tidak sempat mengelak menyebabkan wayar kabel mengenai leher mangsa,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Bukit Mertajam untuk bedah siasat.

“Orang ramai yang menyaksikan kejadian terbabit diminta tampil untuk membantu siasatan dan hubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Mohd Ikhmal Mohd Shokri di talian 016-2500386 atau 04-5382222,” tambahnya.

Semalam, tular video berdurasi 18 saat yang memaparkan palang kren motolori yang terangkat menarik kabel telekomunikasi mengakibatkan penunggang motosikal maut di kawasan terbabit. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI