HULU TERENGGANU – Seorang pekerja pelantar minyak maut manakala dua lagi termasuk abang iparnya cedera setelah kereta Proton Wira bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC di Kilometer 5 Jalan Ajil – Kuala Berang, di sini malam tadi.
Dalam kemalangan pada pukul 9.40 malam itu, mangsa, Safari Hashim Mahadi, 37, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta tersebut meninggal dunia akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan beberapa anggota badan.
Muhammad Arif Taqiyuddin Md. Nasir, 23, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC pula cedera parah manakala Mohd. Razali Anak,57, yang merupakan abang ipar Safari Hashim juga cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, sebelum kejadian, Safawi Hashim dikatakan mengikuti Mohd. Razali mengambil adiknya, Zulhaiza Mastura, 31, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Hulu Terengganu (HHT) di sini.
“Mereka kemudiannya dikatakan mahu pulang ke rumah di Kampung Durian Kassim di sini. Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Proton Wira dipandu Mohd. Razali dikatakan membuat pusingan U untuk ke stesen minyak berhampiran sebelum dirempuh motosikal Yamaha 135LC terbabit,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Zainul Mujahidin berkata, ketiga-tiga mangsa yang cedera dikejarkan ke HHT untuk menerima rawatan.
Beliau berkata, Safari Hashim bagaimanapun meninggal dunia sewaktu dalam perjalanan ke hospital tersebut. – KOSMO! ONLINE