KETUA jurulatih Pasukan Hoki Terengganu (THT), Mohd. Harfizi Baharom berpuas hati dengan kemenangan 2-1 ke atas Maybank dalam aksi Liga Hoki Malaysia (MHL) kelmarin, namun mengakui masih ada ruang untuk penambahbaikan.
Dalam aksi di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Maybank memberikan tekanan hebat kepada benteng pertahanan THT dan membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi Muhajir Abdu Rauf.
Namun, THT tidak mengambil masa lama untuk bangkit apabila Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil menyamakan kedudukan menerusi satu penyudah kemas berselang lima minit kemudian.
Gol kemenangan THT hadir pada minit ke-27 apabila penyerang prolifiknya, Faizal Saari menyempurnakan peluang untuk memastikan tiga mata buat juara Piala Sumbangsih itu.
“Alhamdulillah walaupun kami berjuang untuk mengawal tempo permainan, kami berjaya dapatkan dua gol penting dan mengekalkan kelebihan itu hingga ke minit terakhir,” kata Harfizi.
Menurut Harfizi, Maybank mempamerkan permainan yang tersusun, terutama di separuh masa pertama sehingga memberikan tekanan kepada barisan pertahanan THT.
“Kami terkejut juga terutama dalam gerakan pertahanan. Selepas dinilai, kami berjaya kawal keadaan. Namun, saya akui corak permainan Maybank memang kemas.
“Mujur mereka gagal manfaatkan peluang yang ada, kalau tidak mungkin kami dihukum,” jelasnya.
Sehubungan itu, Harfizi berharap mereka dapat memperbaiki kelemahan pasukan menjelang pertemuan dengan UiTM HA-KPT yang dijadualkan berlangsung pada 10 Januari ini.
“Kami ada 2 atau 3 hari untuk perbaiki kelemahan yang dikenal pasti. Insya-Allah, kami akan tampil lebih bersedia untuk perlawanan seterusnya,” tambahnya.