LONDON – Liverpool dikhabarkan bersedia melepaskan penyerang Uruguay, Darwin Nunez sekiranya menerima tawaran bernilai £60 juta (RM335.15 juta) dan hasil daripada perpindahan itu dijangka dapat digunakan untuk memperkukuhkan skuad kendalian Arne Slot.
Nunez, yang tiba di Anfield dengan rekod perpindahan kelab bernilai £85 juta (RM474.80 juta) dari Benfica pada 2022, gagal memberikan impak besar sejak Arne Slot mengambil alih selepas hanya mencatatkan empat gol dalam 23 penampilan di semua kejohanan.
Persaingan sengit barisan serangan Liverpool turut menyukarkan peluang Nunez dengan pemain seperti Cody Gakpo, Diogo Jota dan Luis Diaz sering menjadi pilihan utama Slot sekali gus menyebabkan dia hanya dimasukkan sebagai pemain gantian.
Khabar angin tentang minat Newcastle muncul ketika masa depan Alexander Isak di St. James Park turut menjadi perbualan hangat, memandangkan penyerang Sweden itu kini berada dalam radar beberapa kelab elit Eropah.
Musim pertama Nunez di Liverpool dilihat tidak memenuhi harapan dengan banyak peluang terlepas dan kegagalan konsisten di hadapan gawang.
Prestasi hambar dalam beberapa minggu kebelakangan ini menguatkan spekulasi bahawa masa depannya di Anfield mungkin akan berakhir lebih awal daripada jangkaan. – AGENSI