LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui tidak terkejut apabila menyaksikan pasukan kini dalam keadaan terbaik untuk memburu gelaran quadruple menjelang aksi separuh akhir pertama Piala Liga Inggeris (EFL) menentang Tottenham Hotspur awal pagi esok.
Sebagai rekod, skuad The Reds dilihat pasukan paling konsisten dalam saingan di Eropah selepas hanya tewas sekali pada aksi kompetitif kepada Nottingham Forest pada awal musim ini.
Situasi itu menyaksikan Liverpool kini gah menduduki carta Liga Perdana Inggeris (EPL), Liga Juara-Juara (UCL) dan bakal memulakan kempen Piala FA pada minggu ini.
Menurut Slot, apa yang diharungi oleh pasukan bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana barisan pemain juga berada dalam fasa yang sama pada awal tahun lalu apabila dijangka mencabar gelaran quadruple.
Namun, prestasi Liverpool yang ketika itu dibimbing oleh Jurgen Klopp tidak mencapai kemuncak apabila hanya mampu menjuarai Piala EFL.
“Saya rasa pasukan sudah ada pengalaman apabila dikatakan bakal mencabar semua kejuaraan pada kempen musim ini terutama meraih gelaran quadruple.
“Tekanan ini dirasai sewaktu pasukan menjuarai Piala EFL musim lepas dan kini kita mengulangi fasa yang sama dan harap pasukan dapat berikan yang terbaik pada semua kejohanan yang diharungi ketika ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Slot mengesahkan tonggak pertahanan utama, Ibrahima Konate tidak akan beraksi menentang Spurs selepas membantu pasukan ketika seri 2-2 bertemu Manchester United kelmarin.
“Saya turunkan Konate pada aksi bertemu United kerana dia sudah cergas sepenuhnya. Namun, saya tidak mahu ambil risiko untuk menurunkannya sekali lagi dalam masa yang singkat memandangkan dia baru pulih daripada kecederaan.
“Mungkin saya akan memberi peluang buat Jarell Quansah untuk digandingkan dengan Virgil van Dijk di pertahanan tengah nanti,” katanya.
Sementara itu, pemain tengah The Reds, Alexis Mac Allister berharap rakan-rakan sepasukan kembali menunjukkan kualiti sebenar selepas kecewa diikat The Red Devils sebelum ini.
“Saya rasa tiada guna kita memikirkan tentang keputusan yang lepas. Lebih baik fokus diberikan untuk memburu kemenangan pada aksi seterusnya,” katanya. – AGENSI