fbpx

Keputusan rayuan akhir Peter Anthony ditangguh ke 7 Februari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peter Anthony

PUTRAJAYA – Keputusan rayuan akhir bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony yang dihukum penjara tiga tahun dan denda RM50,000 atas sabitan berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan yang dijadualkan esok ditangguh ke 7 Februari ini.

Perkara itu disahkan peguam Datuk Nicholas Kow Eng Chuan, yang mewakili Peter, 53, ketika dihubungi media di sini hari ini.

Menurut peguam itu, tarikh baharu itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Putrajaya menerusi surat bertarikh 7 Januari lepas.

“Keputusan rayuan berkenaan ditangguhkan ke 7 Februari ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin turut mengesahkan perkara berkenaan.

Pendengaran keputusan rayuan akhir Peter, 53, sama ada beliau berjaya mengetepikan sabitan dan hukuman atau kekal bersalah akan ditentukan oleh panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang telah selesai mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin.

Pada 19 April 2023, Peter memfailkan rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 atau penjara 15 bulan, yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.

Sebelum ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuannya di Mahkamah Tinggi pada 18 April tahun lepas, dan ini merupakan rayuan terakhirnya di Mahkamah Rayuan.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache menolak rayuan Peter, setelah bersetuju dengan dapatan hakim bicara Mahkamah Sesyen, bahawa ahli politik itu memalsukan dokumen bagi mendapatkan projek di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan tertuduh mengetahui projek itu dibuat melalui tender terbuka.

Dia sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, di Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, didakwa mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI