KUALA LUMPUR – Pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei terpaksa berjuang dengan mental dan fizikal selepas terpaksa menahan sakit apabila dihimpit kekejangan perut ketika turun bersaing pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2025 di Axiata Arena, sebentar tadi.
Jin Wei yang merupakan satu-satunya wakil tunggal wanita negara dalam kejohanan bertaraf Super 1000 tersebut mengakui kekejangan perut tersebut membuatkan dirinya dalam keadaan tidak selesa dan mengggangu mentalnya pada aksi pusingan pertama Terbuka Malaysia, hari ini.
Dalam perlawanan tersebut, Jin Wei dilihat kepenatan ketika menentang wakil India, Malvika Bansod sebelum tumpas straight set 15-21, 16-21 dalam masa 45 minit.
“Sewaktu perlawanan tadi, ada rasa (kejang perut) dan saya tahan sakit itu tapi itu perkara tesebut sudah biasa. Bila selepas perlawanan, rasa itu lebih kuat.
“Tapi selepas melakukan pemeriksaan jantung semua keadaan saya baik, cuma keadaan tersebut sedikit sebanyak mengganggu mental saya dalam perlawanan juga,”katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Selepas perlawanan tadi, Jin Wei seperti mengalami kecederaan serius dan terpaksa dibawa menggunakan kerusi roda ke bilik pemeriksaan bagi mendapatkan rawatan doktor.
Sebagai rekod, pemain berusia 25 tahun dia pernah bergelut dengan tahap kesihatan di bahagian perut sehingga terpaksa menjalani pembedahan membuang sebahagian usus pada pertengahan 2019.
Dalam perkembangan lain, beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King turut tersingkir awal selepas tewas kepada pasangan Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae dengan keputusan 17-21, 11-21. -KOSMO! ONLINE