LOS ANGELES, CALIFORNIA – Kebakaran hutan ‘mengganas’ di pinggir bandar Los Angeles, California, dengan membakar bangunan dan mencetuskan pemindahan panik semalam ketika angin taufan melanda wilayah itu.
Penduduk yang ketakutan meninggalkan kereta mereka di satu-satunya jalan masuk dan keluar dari kawasan kejiranan mewah, Pacific Palisades.
Mereka melarikan diri dengan berjalan kaki dari kebakaran seluas 510 hektar yang melanda kawasan dipenuhi dengan rumah bernilai berjuta-juta dolar di Pergunungan Santa Monica.
Anggota bomba menggunakan jentolak untuk mengalihkan berpuluh-puluh kenderaan termasuk model mahal seperti BMW, Tesla dan Mercedes, menyebabkan banyak kereta remuk dan penggera berbunyi.
Ketua Balai Bomba Los Angeles, Kristin Crowley berkata, walaupun terdapat kekecohan ketika pemindahan, tiada laporan segera mengenai sebarang kematian atau kecederaan.
Kira-kira 30,000 orang telah diarahkan untuk mengosongkan kawasan kebakaran yang merebak dengan pantas dan merobohkan sejumlah rumah.
Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Gary berkata, abu panas menghujani kawasan kejiranannya di Sea Ridge.
“Terdapat asap di kejauhan, dan saya ketika itu diberi jaminan ia tidak akan sampai ke atas bukit.
“Lima minit kemudian, ia menuruni bukit dan semua orang panik. Ketika itulah semua orang berlari dan mengemas rumah mereka,” katanya.
Kebakaran itu berlaku ketika wilayah tersebut dilanda angin Santa Ana bermusim yang menurut peramal, boleh meningkat menjadi ribut angin terburuk dalam sedekad. – AFP