PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata tiada mana-mana pihak selain Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan Perdana Menteri yang boleh mencadangkan calon untuk pelantikan ke semua jawatan hakim di mahkamah atasan.
Tengku Maimun memberitahu, perkara itu jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai pelantikan hakim, yang dibaca bersama prosedur tambahan dalam Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 (Akta 695).
“Sebarang bentuk ketidakpatuhan kepada peruntukan terbabit boleh menyebabkan pelantikan hakim berkenaan menjadi tidak sah dari segi Perlembagaan atau melanggar undang-undang.
“Justeru, tiada individu, sama ada Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia, mana-mana peguam atau peguamcara, parti politik, Peguam Negara atau mana-mana individu lain yang berhak mencadangkan nama kepada Perdana Menteri untuk pelantikan,” katanya pada ucapan Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Ujarnya, sekiranya cadangan melantik hakim dibuat bukan JAC atau Perdana Menteri, Tengku Maimun menegaskan ia bukan saja badan kehakiman dipijak, kebebasannya dicabuli tetapi adalah percubaan untuk campur tangan dalam perjalanan keadilan dengan mempengaruhi perjalanan kehakiman.
Terdahulu pada majlis terulung anjuran Badan Kehakiman Malaysia dihadiri kira-kira 200 orang hadir terdiri daripada hakim, pegawai dan pengamal undang-undang.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk oleh hakim-hakim dengan Tengku Maimun yang juga hakim tertinggi negara paling akhir memasuki dewan.
Sebanyak tiga ucapan utama akan disampaikan oleh Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia (juga mewakili Pertubuhan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak), diikuti Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara. – KOSMO! ONLINE