LIVERPOOL – Pengulas bola sepak yang juga bekas pemain Liverpool, Jamie Carragher percaya hanya satu perkara mampu menghalang kelab itu untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Skuad kendalian Arne Slot ketika ini selepas di puncak liga dengan kelebihan enam mata dan masih kurang satu perlawanan sekali gus memiliki peluang cerah untuk menjulang kejuaraan buat kali ke-20 dalam sejarah.
Selepas Arsenal gagal meraih mata penuh berdepan Brighton, Liverpool mampu terus menjarakkan kedudukan, namun mereka sekadar seri 2-2 berdepan Manchester United yang sedang berdepan masalah prestasi.
Carragher percaya keputusan seri tu adalah peringatan terbaik buat Liverpool yang membuktikan mereka mampu diheret turun daripada takhta sekiranya tidak memberikan perhatian untuk memantapkan pasukan.
Bekas pemain England itu yakin kerapuhan di bahagian benteng akan membuatkan Liverpool kecewa dan terlepas peluang paling terbaik yang mereka miliki untuk menjulang kejuaraan selepas kali terakhir melakukannya pada 2020.
“Arsenal lebih baik ketika bertahan, tetapi Liverpool bagus sewaktu menyerang apabila mencipta banyak peluang dan menjaringkan lebih banyak gol.
“Mereka cukup kebal dan kuat pada awal musim, tetapi mereka mula mudah untuk dibolosi ketika ini. Itulah kebimbangan yang saya lihat apabila benteng mereka sangat rapuh.
“Saya sentiasa rasakan bahawa mereka perlu mendapatkan pemain pertahanan baharu pada jendela kali ini untuk memastikan masalah tersebut dapat diatasi,” katanya. – AGENSI