WOLVERHAMPTON – Pengurus Nottingham Forest, Nuno Espirito Santo enggan melihat kedudukan pasukannya dalam carta Liga Perdana Inggeris sehingga musim ini berakhir selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Wolves di Stadium Molineux awal pagi semalam.
Gol menerusi Morgan Gibbs-White, Chris Wood dan Taiwo Awoniyi menyaksikan Forest meraih kemenangan keenam berturut-turut untuk berada di kedudukan ketiga dan hanya ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, Liverpool.
Mereka bakal berdepan ujian menentang Liverpool di City Ground pada aksi 15 Januari nanti, sekali gus ia dianggap sebagai perlawanan penentu sama ada mereka mampu untuk mencabar takhta liga selepas ini.
“Mungkin selepas musim berakhir saya akan lihat carta liga. Saya janji dengan anda semua. Kami akan berdepan Luton untuk aksi Piala FA dan ia adalah satu lagi perlawanan besar untuk kami.
“Kami perlu terus melangkah. Kegembiaraan kami bergantung kepada bagaimana para pemain dapat terus bekerjasama. Ia benar-benar membuatkan kami rasa bangga dan gembira,” katanya.
Kejayaan meraih kemenangan keenam berturut-turut itu menyaksikan ia merupakan pencapaian kali pertama diraih Forest selepas 1979 ketika mereka dibimbing oleh pengurus legenda, Brian Clough. – AGENSI