GUA MUSANG – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap dua ekor gajah liar jantan yang merosakkan kebun penduduk di Kampung Pulai di sini semalam.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, pihaknya menerima aduan pada 1 Januari lalu mengenai gajah liar terbabit yang berkeliaran dan memusnahkan tanaman di kampung tersebut.
Katanya, bertindak atas aduan terbabit, pihak Unit Tangkapan Gajah (UTG) Kelantan menjalankan pemantauan sebelum menangkap dua ekor gajah liar jantan semalam di kawasan kebun Kampung Pulai.
“Tangkapan gajah liar itu memberi kelegaan kepada penduduk di kawasan tersebut. Tindakan itu dapat mengelakkan kerugian berterusan yang ditanggung penduduk akibat kemusnahan tanaman dan harta benda.
“Operasi pemindahan dan pelepasan gajah liar ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat dengan bantuan kakitangan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Lanchang, Pahang,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE