PUTRAJAYA – Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat mengakui sejak menjadi hakim tertinggi negara enam tahun lalu, beliau sering dikritik, difitnah sehingga ada yang sanggup melabelkannya tidak Islamik atau musuh Islam.
Katanya, pada masa sama ada juga segelintir pihak yang menggunakan suaminya dalam dalam beberapa permohonan meminta supaya dia menarik diri daripada mendengar dan mengadili sesuatu prosiding mahkamah.
“Tiada seorang pun daripada mereka yang pernah menembusi untuk menguji hati saya, dan segala puji bagi Allah, saya tidak pernah bimbang dengan kecaman ini,” katanya pada ucapan Pembukaan Tahun Perundangan 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.
Majlis hari ini merupakan ucapan terakhir Tengku Maimun sebelum beliau bersara wajib pada Julai tahun ini.
Tengku Maimun dalam ucapan lanjut turut mengatakan apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Negara wanita pertama Malaysia, ada seseorang bertanya kepadanya, apakah yang akan dilakukan, sekiranya mana-mana pihak berpengaruh menuntut memutuskan sesuatu kes dengan cara tertentu.
“Saya sentiasa menekankan perkara ini “Hakim sama ada lelaki atau perempuan mesti sentiasa membuat keputusan dengan adil dan objektif. Saya gembira untuk berkongsi dengan anda hari ini jawapan saya kepada soalan panjang itu, dan masih kekal sehingga hari ini. Ia adalah ini.
“Saya di sini untuk melakukan kerja saya. Saya tidak pernah mengidamkan (Ketua Hakim Negara) tetapi dengan izin Allah SWT, saya telah diamanahkan untuk memimpin Badan Kehakiman. Ia adalah jawatan yang sangat menakutkan untuk dipegang, tetapi apabila menerima pelantikan, saya komited sepenuhnya untuk melakukannya dengan betul. Saya tidak akan tunduk kepada mana-mana orang tidak kira siapa mereka,” ujarnya lagi.
Pada masa sama, beliau turut berkata selama tempoh enam tahun dalam perkhidmatannya sebagai Ketua Hakim Negara, beliau sendiri berpegang teguh pada kepercayaan bahawa apa yang perlu diperbaiki akan diperbaiki dan apa yang tidak perlu diubah akan kekal.
Ujarnyanya, beliau tidak percaya bahawa setiap kali seseorang memegang jawatan, mereka perlu membatalkan dasar-dasar terdahulu yang terbukti berguna. untuk berbuat demikian.
“Dalam hal ini, saya telah mengekalkan apa jua dasar yang tertinggal semasa saya mengambil alih yang mempertingkatkan institusi kehakiman,” katanya lagi.
Pelantikan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara berkuat kuasa pada 2 Mei 2019 mencatatkan sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik ke jawatan tertinggi badan kehakiman negara.
Tengku Maimun, menggantikan Ketua Hakim Negara sebelumnya iaitu Tan Sri Richard Malanjum.
Tengku Maimun dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan pada 2 Julai 1959 mempunyai kelulusan bidang pengajian undang-undang dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Malaysia pada 1982.
Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 8 Januari 2013 seterusnya dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 26 November pada 2018.
Terdahulu majlis terulung anjuran Badan Kehakiman Malaysia dihadiri kira-kira 200 orang hadir terdiri daripada hakim, pegawai dan pengamal undang-undang.
Majlis dimulakan dengan perarakan masuk oleh hakim-hakim dengan Tengku Maimun yang juga hakim tertinggi negara paling akhir memasuki dewan.
Sebanyak tiga ucapan utama akan disampaikan oleh Yang Dipertua Badan Peguam Malaysia (juga mewakili Pertubuhan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak), diikuti Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara. – KOSMO! ONLINE