PASIR MAS – Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) mengeluarkan dana sebanyak RM5 juta setahun bagi menjaga kebajikan seramai 977 anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka akibat pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua penerima termasuk 105 orang daripada 35 buah keluarga di Kelantan itu mendapat Bantuan Kasih secara berfasa sejak 2022.
Menurutnya, mereka yang layak terdiri daripada keluarga yang berpendapatan rendah atau B40 yang kehilangan ibu bapa akibat pandemik Covid-19
“YKM komited untuk meneruskan pemberian Bantuan Kasih YKM pada tahun ini kepada keluarga yang layak terutamanya mereka yang berada di kelompok B40.
“Ini adalah tanggungjawab YKM yang paling mustahak,” katanya kepada pemberita selepas menziarahi Ahmad Hadzumi Nordin, 46, yang tinggal bersama 10 ahli keluarga di sebuah rumah uzur di Kampung Bechah Palas, Bunut Susu di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri memberitahu, anak-anak yang berusia di bawah 16 tahun menerima RM200 setiap bulan menerusi Bantuan Kasih bermula tahun ini.
Menurutnya, bagi yang berusia 17 hingga 18 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama akan menerima bantuan bulanan sebanyak RM250.
“YKM turut menyalurkan bantuan persekolahan, menara gading dan perayaan sebanyak RM300. Anak-anak yang cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan menerima hadiah kecemerlangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE