PETALING JAYA – Kekal diulit rasa bahagia lebih tiga dekad melayari rumah tangga dengan suami tercinta, Daud Leroy, pelakon Azah Aziz menyambut ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-30 semalam.
Kata Azah atau nama lengkapnya Norazah Aziz, 52, dia juga seperti wanita lain yang adakalanya melalui episod gelora dalam hubungan suami isteri.
“Dalam perkahwinan kena banyak bersabar dan perlu ada sikap toleransi. Tetapi jika ada masalah yang timbul, kami akan sentiasa duduk berbincang untuk selesaikannya. Apa yang berlaku hari ini, tidak dibawa sampai hari esok.
“Kami masing-masing berkorban. Macam saya, lepas kahwin saya tinggalkan terus dunia lakonan demi fokus kepada keluarga dan menetap di luar negara.
“Malah, saya tidak ada pembantu rumah. Semuanya saya uruskan sendiri termasuklah waktu saya berpantang selepas melahirkan anak. Sebab itu anak-anak saya sangat rapat dengan saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online pada majlis sambutan ulang tahun perkahwinannya semalam.
Ditanya apakah tip untuk bertahan dalam perkahwinan, kata pelakon drama Cinta Korporat itu, dalam rumah tangga perlu ada ‘give and take’ serta tidak boleh terlalu cemburu.
“Jangan jadi terlalu cemburu. Tetapi kita tetap harus memantau suami kita kerana lelaki tetap lelaki. Tak kisahlah mat salih atau Melayu. Penyondol memang ramai. Bukan di Malaysia sahaja, di luar negara pun ada.
“Macam suami saya dia selalu ke luar negara atas urusan kerja. Jadi kami akan selalu berkomunikasi melalui panggilan video setiap hari. Macam sekarang suami saya tinggal di Dubai dan saya di Malaysia.
“Jadi memang setiap hari kami akan berhubung melalui panggilan video,” ujarnya.
Lumrah menjadi selebriti, pasti ada pihak yang mempertaruhkan sejauh mana usia perkahwinan artis mampu bertahan, dan Azah sendiri tidak terlepas daripada semua itu.
“Itu perkara biasa. Malah ada yang ingat saya sudah bercerai gara-gara kembali ke Malaysia dan suami tinggal di Dubai. Tetapi saya pilih untuk tinggal di Malaysia kerana anak bongsu saya bersekolah di sini. Hanya anak kedua saya yang tinggal bersama suami di Dubai.
“Walaupun tinggal di berlainan negara, tetapi kami akan cari masa untuk bertemu. Kalau saya tidak ke Dubai, suami yang akan ke Kuala Lumpur. Tak jadi masalah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azah bakal melancarkan koleksi abayanya yang diimport dari Dubai tidak lama lagi yang diberi nama Vie. – KOSMO! ONLINE