PETALING JAYA – “Lihatlah dunia, Allah betul-betul menguji kesabaran saya. Tengah tunggu pelanggan ambil, boleh tumbang keknya”.
Itu luahan seorang peniaga yang kecewa apabila kek dihasilkan dan hanya menanti untuk diambil pelanggan rosak teruk selepas terjatuh akibat dilanggar anaknya.
“Tak perasan anak duduk depan, sekelip mata saja hancur kek. Dah tak ada rezeki tu ya. Beritahu suami, benda pertama dia tanya, ‘Awak marah Umar tak, pukul tak?’.
“Dia cakap nak bayar harga kek tu. Tak sempat nak marah, awak. Hilang kata-kata, terus duduk bucu katil mengenangkan nasib,” tulis individu yang menggunakan nama Amirah Wahida Rahamat di aplikasi Threads.
Hantarannya itu mengundang pelbagai reaksi orang ramai malah ada juga peniaga yang berkongsi pengalaman serupa.
“Macam mana awak terangkan pada pelanggan? Saya paling takut nak beritahu mereka,” soal @elhsna.
“Untunglah suami baik cakap macam tu. Kalau suami saya, awak yang cuai tak perhati anak buat apa,” ujar seorang pengguna.
“Kita pun pernah macam ni. Masa tu dah nak sampai rumah pelanggan, ada motor keluar simpang tiba-tiba. Nak elak punya pasal, kek yang tumbang,” kongsi seorang lagi pengguna. – KOSMO! ONLINE